Sarawak Perkukuh Transformasi GLC, Kerjasama Strategik Bersama Bank Dunia
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh transformasi badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi kerjasama strategik bersama Bank Dunia di bawah Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan (SOE).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan tadbir urus korporat, ketelusan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan oleh badan berkanun dan GLC negeri.
Menurut beliau, antara komponen utama program itu termasuk penyediaan ‘State-Owned Enterprise Budget Speech’, Polisi SOE Sarawak serta Kod Tadbir Urus Korporat Sarawak sebagai panduan memperkukuh pengurusan dan pemantauan syarikat milik kerajaan.
“Langkah ini penting dalam memastikan badan berkanun negeri dan GLC terus beroperasi secara lebih cekap, telus dan berdaya saing, sejajar dengan agenda pembangunan jangka panjang Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah beliau, usaha transformasi itu juga bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selain menjamin kemampanan jangka panjang institusi serta syarikat milik kerajaan negeri.- EDISI UKAS