MIRI: Sambutan ulang tahun ke-21 Hari Bandaraya Miri pada Rabu mencerminkan kejayaan transformasi bandar ini sebagai pusat pertumbuhan utama di utara Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sejak penemuan minyak pada 1910 hingga pengisytiharan bandaraya pada 2005, Miri berkembang pesat hasil perancangan rapi dan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata, Miri kini berperanan penting dalam sektor ekonomi, pelancongan, logistik dan pendidikan, selaras dengan Pelan Induk Greater Miri 2021–2030 yang menekankan pembangunan inklusif dan lestari.
Antara projek utama termasuk pembangunan Pelabuhan Miri, jalan Miri-Marudi dan Miri-Mulu, naik taraf Lapangan Terbang Miri serta pembinaan jambatan dan infrastruktur strategik lain.
Tambah beliau, inisiatif bandar pintar seperti Bas Pintar Miri yang mencatat lebih 1.3 juta penumpang sejak 2024 turut meningkatkan kecekapan mobiliti rakyat.
“Marilah kita terus bekerjasama membangunkan Miri sebagai bandar yang maju, hijau dan sejahtera,” katanya.-EDISI UKAS