Program Sarawakku Sayang 2026 Bintulu Dekatkan Rakyat Dengan Inisiatif & Perkhidmatan Kerajaan Sarawak
BINTULU: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 terus menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antara Kerajaan Sarawak dan rakyat apabila Bahagian Bintulu dipilih sebagai lokasi penganjuran ketiga program tersebut yang berlangsung di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu dari 22 hingga 24 Mei 2026.
Penganjuran program anjuran Kerajaan Sarawak ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan penerangan secara langsung mengenai pelbagai inisiatif kerajaan daripada jabatan dan agensi kerajaan yang turut serta.
Antaranya termasuk Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diperkenalkan sejak tahun 2025.
Melalui pelaksanaan SKAS 2026, kategori isi rumah yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang RM375.
Penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara digital menerusi platform SPay Global dan dijangka memberi manfaat kepada hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak.
Selain mendapatkan maklumat berkaitan SKAS 2026, pengunjung juga berpeluang mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dan peluang pembangunan diri menerusi Sarawak Pavilion yang menghimpunkan pelbagai agensi dan organisasi di bawah satu bumbung.
Antara pengisian utama yang disediakan termasuk penerangan mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), peluang kerjaya melalui JobSarawak serta sesi konsultasi bersama agensi kerajaan dan syarikat yang mengambil bahagian daripada sektor minyak dan gas, tenaga, perindustrian, perladangan dan kewangan.
Program ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan seperti saringan kesihatan, saringan kecergasan, pameran kesihatan serta vaksinasi influenza khusus untuk warga emas.
Kesemua perkhidmatan tersebut disediakan secara percuma bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk sukaneka rakyat, pertandingan e-sukan, persembahan kebudayaan dan Konsert Rakyat yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim di Khemah Utama.
Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada 23 Mei 2026 jam 10.30 pagi di khemah utama, tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak serta Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan.
Orang ramai, khususnya penduduk Bahagian Bintulu dan kawasan sekitarnya dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung. Pengunjung yang hadir juga layak menyertai Cabutan Bertuah dengan peluang memenangi hadiah utama berupa sebuah kenderaan Proton e.MAS 5.-EDISI UKAS