ADUN Pelawan edar 1,300 kelalang termos sempena sambutan Hari Ibu
SIBU: Sebanyak 1,300 kelalang termos eksklusif akan diedarkan kepada golongan ibu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan sempena sambutan Hari Ibu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
Edaran tersebut akan disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee pada Ahad ini bermula jam 2 petang di Taman Peringatan Hin Hua.
Datuk Michael Tiang berkata inisiatif berkenaan merupakan simbol penghargaan kepada golongan ibu yang sentiasa memainkan peranan penting dalam keluarga serta masyarakat.
“Ibu merupakan tonggak kekuatan keluarga yang banyak berkorban demi kesejahteraan tanpa mengharapkan balasan.
“Pemberian kecil ini bertujuan menyampaikan ucapan selamat yang tulus kepada semua ibu, di samping mempromosikan nilai murni seperti kasih sayang terhadap ibu bapa, menghormati golongan warga emas serta keprihatinan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat Pelawan mengingatkan para pengunjung supaya membawa kad pengenalan masing-masing bagi tujuan pendaftaran dan pengesahan semasa pengambilan hadiah bagi memastikan kelancaran proses edaran.
Datuk Michael Tiang turut mengalu-alukan kehadiran semua pengundi wanita yang layak di kawasan DUN Pelawan untuk hadir memeriahkan program tersebut.-EDISI UKAS