Sarawak Sedang Muktamadkan Pelan Induk Terperinci Projek KLCH di Tanjung Embang, Kerja Fizikal Dijangka Mula 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang dalam proses memuktamadkan pelan induk terperinci pembangunan projek mega Hab Rendah Karbon Kuching Bersepadu (KLCH) di Tanjung Embang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan fizikal projek tersebut dijangka dimulakan seawal 2027 menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP).
“Kami sedang dalam proses memuktamadkan Pelan Induk terperinci dengan pembangunan fizikal dan infrastruktur dijangka bermula pada tahun 2027 melalui pendekatan PPP," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Premier Sarawak berkata, komponen utama pelan induk itu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA) dan pelabuhan laut dalam yang akan memperkukuh hubungan perdagangan serta meningkatkan penyertaan Sarawak dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Menurut beliau, NKIA akan dibangunkan sebagai hab penerbangan masa depan dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun dan berpotensi diperluaskan sehingga 60 juta penumpang.
Katanya lagi, pembangunan lapangan terbang itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan perjalanan penumpang, malah memperkukuh logistik kargo udara serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).
Pelabuhan laut dalam yang dirancang pula, ujar beliau, dijangka mampu mengendalikan jumlah kargo lebih besar, menyokong pertumbuhan industri serta melengkapi peranan hab sedia ada di Bintulu dan Samalaju.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata projek berkenaan kini semakin mendapat perhatian pelabur antarabangsa apabila Sarawak telah menjalin kerjasama strategik dengan China Jiangsu International dan Sumitomo Corporation dari Jepun.
Tambah beliau, minat yang semakin berkembang dari Eropah dan beberapa rantau lain turut mencerminkan keyakinan global terhadap potensi jangka panjang KLCH.
Beliau berkata, kedudukan strategik Tanjung Embang serta perkongsian infrastruktur yang dirancang akan menjadikan kawasan itu sebagai gerbang rendah karbon yang kompetitif bagi perdagangan, logistik dan industri hijau.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pembangunan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo turut menjadi sebahagian daripada strategi Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan dan ekonomi serantau.
Menurut beliau, AirBorneo akan dibangunkan secara berfasa dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (PSO) di Sabah dan Sarawak sebelum diperluaskan ke laluan domestik dan serantau strategik berdasarkan permintaan pasaran.
Katanya, operasi awal pesawat jet AirBorneo dijangka memulakan laluan terpilih dari Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Jakarta dan Singapura menjelang Julai 2026.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang