Projek Naik Taraf Dataran Kejat, Masjid Darul Naa’aim Engkilili Diserahkan
ENGKILILI: Dua projek pembangunan di Kampung Melayu Engkilili secara rasmi diserahkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid dan AJK Dewan Melayu Engkilili dalam satu majlis penyerahan projek yang berlangsung hari ini.
Projek berkenaan melibatkan kerja-kerja naik taraf Dataran Kejat bernilai RM40,000 serta kerja-kerja naik taraf Masjid Darul Naa’aim dengan kos keseluruhan RM200,000.
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau serta Radiah Mohamad dan Ronie Besri.
Pelaksanaan projek naik taraf itu bertujuan meningkatkan kemudahan awam selain menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk setempat.
Naik taraf Dataran Kejat dijangka memberi manfaat kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti dan program kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Sementara itu, penambahbaikan Masjid Darul Naa’aim pula akan meningkatkan keselesaan jemaah di samping memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan aktiviti masyarakat.
Usaha pembangunan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar terus diberi perhatian menerusi penyediaan kemudahan yang lebih baik dan berkualiti.
Penduduk Kampung Melayu Engkilili turut menyambut baik pelaksanaan projek tersebut yang disifatkan mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat untuk jangka masa panjang. -EDISI UKAS