322 Pegawai Kerajaan Sertai Latihan RBB, Perkukuh Pengurusan Kewangan Berasaskan Prestasi
KUCHING: Seramai 322 pegawai kerajaan telah mengikuti program latihan Belanjawan Berasaskan Hasil (RBB) sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan sistem pengurusan kewangan berasaskan prestasi di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tambahan 200 pegawai lagi dijadual mengikuti latihan sama pada bulan ini.
Menurutnya, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak meningkatkan kesiapsiagaan kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam melaksanakan RBB.
“Dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), satu siri sesi latihan pendedahan RBB telah dijalankan sejak penghujung 2025 dan diteruskan pada 2026.
“Inisiatif ini berjaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai prinsip RBB, khususnya dalam menghubungkan peruntukan sumber kepada hasil yang jelas serta indikator yang boleh diukur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menjelas lanjut, Datuk Amar Douglas memberitahu, pelaksanaan RBB di Sarawak telah dijalankan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu, bermula dengan pembangunan kerangka dasar dan garis panduan pelaksanaan.
Ujarnya lagi, usaha itu kemudiannya diperluaskan melalui penglibatan institusi, pembangunan sistem dan pengukuhan mekanisme pemantauan bagi menyokong amalan belanjawan berasaskan hasil.
"Kerangka Hasil Pertama bagi Tahun Belanjawan 2025 telah dibangunkan melibatkan semua kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan serta beberapa badan berkanun negeri dan GLC terpilih.
“Kerangka tersebut kini disemak semula sebagai persediaan untuk pembangunan Kerangka Hasil Tahun Belanjawan 2026 yang lebih lengkap dan berkesan,” tambahnya.-EDISI UKAS