39 KMKK Iban Daerah Sebuyau Terima Sumbangan Sempena Hari Gawai
SEBUYAU: Seramai 39 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Iban di Daerah Sebuyau menerima sumbangan khas sempena sambutan Hari Gawai Dayak dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Sebuyau, pada Isnin.
Keseluruhan sumbangan yang disalurkan kepada para penerima berjumlah RM118,000 sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap peranan penting KMKK dalam menjaga kebajikan serta keharmonian masyarakat setempat.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Awang Nashfarini Awang Sarbini yang mewakili Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Dalam ucapannya, beliau berharap bantuan tersebut dapat membantu penerima membuat persiapan menyambut Hari Gawai selain meringankan beban menjelang musim perayaan.
“Ini merupakan komitmen untuk terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat serta pembangunan kawasan luar bandar khususnya di bawah Parlimen Batang Lupar,” jelasnya.
Program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain menyemarakkan sambutan Hari Gawai Dayak dalam suasana penuh perpaduan dan muhibah. -EDISI UKAS