Peruntukan SKAS 2026 Dinaikkan Kepada RM680 Juta, Bantu Rakyat Hadapi Kos Sara Hidup
KUCHING: Kerajaan Sarawak meningkatkan peruntukan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada RM680 juta tahun ini sebagai langkah proaktif membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, bantuan SKAS turut ditingkatkan melibatkan kenaikan daripada RM950 kepada RM1,100 bagi setiap isi rumah, RM500 kepada RM600 bagi warga emas dan RM300 kepada RM375 bagi golongan bujang.
Jelasnya, peningkatan bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak.
“Penyaluran bantuan dijadualkan dalam tiga fasa iaitu pada Mac, Mei dan November 2026 dan akan disalurkan melalui S Pay Global melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM680 juta, meningkat RM198.42 juta berbanding tahun lalu.
“Langkah ini bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan suntikan langsung kepada ekonomi Sarawak dalam memperkukuh permintaan domestik dan mengekalkan perbelanjaan tempatan,” ujar beliau ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Selain SKAS, beliau menambah, kerajaan turut melaksanakan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus bagi pengguna domestik dari April hingga Disember 2026 yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 pengguna di seluruh Sarawak dengan implikasi kewangan berjumlah RM188.1 juta.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut menawarkan diskaun sewa sebanyak 50 peratus kepada peniaga di pasar, gerai dan premis perniagaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta badan berkanun.
Jelas beliau, Kerajaan Sarawak turut mengumumkan pengurangan sebanyak 50 peratus terhadap kadar royalti hutan, premium dan tarif bagi balak kilang serta balak eksport daripada hutan semula jadi bagi semua lesen pembalakan hutan, tidak termasuk Tarif Industri Kayu Sarawak.
"Langkah tersebut berkuat kuasa mulai 20 April 2026 hingga 19 April 2027 sebagai usaha mengurangkan beban industri berkaitan.
“Walaupun berdepan cabaran luar yang tidak dapat dikawal, kita sentiasa memperoleh kekuatan daripada ketahanan rakyat kita dan dengan iltizam dan keprihatinan, kita berusaha untuk mengubah ketidaktentuan global ini menjadi peluang ke arah kestabilan yang lebih kukuh.
“Dengan menyokong isi rumah dan perniagaan tempatan sebaik mungkin, kita berhasrat mengekalkan Sarawak yang kuat, selamat dan stabil,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS