228 Projek Agensi Pembangunan Wilayah Siap Dilaksanakan
KUCHING: Sebanyak 228 projek atau 19 peratus daripada keseluruhan 1,186 projek pembangunan di bawah lima Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) negeri ini telah siap dilaksanakan setakat April 2026 di bawah bajet pembangunan tahunan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, baki 958 projek atau 81 peratus lagi kini masih berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM7.5 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan tersebut di bawah bidang kuasa Agensi Pembangunan Wilayah iaitu Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Penyelarasan Greater Kuching (GKCDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA).
“Daripada jumlah ini, 1,169 projek adalah fizikal, manakala 17 adalah bukan fizikal.
“Sehingga April 2026, RM395 juta telah dibelanjakan dengan 228 projek atau 19 peratus telah siap dan baki 958 projek atau 81 peratus masih di pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sejumlah RM6 bilion turut diperuntukkan di bawah program Pembiayaan Alternatif bagi melaksanakan projek di bawah bidang kuasa Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).
Tambah beliau, setakat April 2026, sebanyak RM3.48 bilion telah dibelanjakan menerusi program tersebut dengan 651 projek berjaya disiapkan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang