Sarawak Catat Kutipan Hasil RM12.55 Bilion Pada 2025
KUCHING: Sarawak merekodkan kutipan hasil negeri sebanyak RM12.553 bilion bagi tahun fiskal 2025 meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global serta turun naik pasaran komoditi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah tersebut melepasi unjuran hasil yang telah disemak semula sebanyak RM12.076 bilion.
Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini menurunkan sasaran hasil daripada RM14.201 bilion susulan prospek sederhana sektor minyak dan gas yang memberi tekanan terhadap perancangan fiskal negeri.
“Meskipun terdapat cabaran-cabaran ini, daya tahan ekonomi kita dan disiplin pengurusan fiskal kita terserlah.
“Berdasarkan prestasi sebenar, Sarawak berjaya mengumpul RM12.553 bilion hasil, mengatasi unjuran yang disemak semula sebanyak RM477 juta, atau 4 peratus,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata cukai jualan negeri ke atas minyak dan gas terus menjadi penyumbang terbesar kepada hasil negeri.
Tambah beliau, sejak diperkenalkan pada Januari 2019, kutipan kumulatif cukai jualan negeri minyak dan gas telah mencecah RM24.77 bilion setakat April 2026.
Menyentuh perbelanjaan negeri, beliau berkata Sarawak telah membelanjakan RM14.17 bilion bagi perbelanjaan biasa pada tahun 2025 dan daripada jumlah itu, RM5.37 bilion digunakan untuk perbelanjaan operasi manakala RM8.8 bilion disalurkan ke Akaun Dana Pembangunan bagi membiayai pelbagai program dan projek pembangunan negeri.
Ujar beliau, Kerajaan Negeri turut merekodkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM9.8 bilion atau 88 peratus daripada keseluruhan bajet pembangunan berjumlah RM11.07 bilion.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang