Sarawak Lakar Satu Lagi Detik Bersejarah, Jambatan Batang Lupar No. 1 Dibuka Esok
KUCHING: Sarawak bakal melakar satu lagi detik bersejarah apabila Jambatan Batang Lupar No. 1 di Sebuyau dibuka secara rasmi esok sekali gus memudahkan perjalanan rakyat terutama sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembukaan jambatan tersebut akan mengakhiri kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri yang sekian lama menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat setempat.
“Esok, Sarawak akan menyaksikan satu detik bersejarah dengan pembukaan Jambatan Batang Lupar No. 1 di Sebuyau.
"Dengan jambatan ini, rakyat dapat balit kampung dengan mudah sempena sambutan Hari Raya Haji dan Hari Gawai. tidak perlu hendak bertunggu feri lagi," katanya.
Beliau berkata demikan dalam ucapan penggulungannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, jambatan sepanjang 4.8 kilometer itu merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia yang bakal menamatkan perkhidmatan feri Triso serta membuka lembaran baharu sistem perhubungan yang lebih pantas dan lancar.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur terus menjadi tulang belakang pembangunan Sarawak dengan pelbagai transformasi dilaksanakan bagi memperkukuh jaringan perhubungan di seluruh negeri.
“Saya masih ingat pada waktu dahulu, perjalanan ke bandar Simanggang boleh mengambil masa sekitar enam hingga tujuh jam.
“Namun, keadaan kini telah berubah dengan begitu ketara, perjalanan menjadi lebih mudah dan pantas sehingga kita boleh menikmati sarapan pagi di sana dan kembali semula ke Kuching untuk makan tengah hari,” ujarnya.
Katanya, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Sarawak melaksanakan antara transformasi infrastruktur paling berimpak tinggi dalam sejarah negeri menerusi pembinaan 21 jambatan utama bersama rangkaian jalan penting seperti Coastal Road Network Connectivity Programme dan Second Trunk Road.
“Daripada 21 buah jambatan utama ini, 10 telah siap dibina dan dibuka kepada orang ramai, menggantikan enam perkhidmatan feri yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada rutin perjalanan harian masyarakat setempat.
“Menjelang akhir tahun ini, lapan lagi jambatan dijangka siap,” katanya lagi.
Beliau menambah, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak menyasarkan jaringan jalan raya 100 peratus di seluruh negeri bagi memastikan setiap komuniti dapat dihubungkan dengan peluang ekonomi, perkhidmatan dan pembangunan.
“Setiap jalan yang siap dibina, setiap jambatan yang dibuka, dan setiap rangkaian perhubungan yang diwujudkan adalah bukti komitmen Kerajaan GPS dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus terpelihara.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa kestabilan politik, disiplin pelaksanaan dan pengurusan kewangan yang berhemah mampu diterjemahkan kepada hasil yang nyata demi masa depan Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS