Pelabuhan Sarawak Catat Pertumbuhan 10 Peratus Pada Suku Pertama 2026
KUCHING: Semua pelabuhan di Sarawak mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini apabila jumlah pengendalian kargo meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian itu membuktikan ketahanan ekonomi Sarawak meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi global.
“Semua pelabuhan negeri mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan pada awal tahun 2026, dengan daya pemprosesan pada suku pertama telah meningkat sebanyak 10 peratus berbanding suku pertama tahun 2025.
“Ini menunjukkan daya tahan ekonomi kita dalam iklim geopolitik yang tidak menentu ini,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kerajaan negeri turut giat melaksanakan pelbagai inisiatif pemodenan pelabuhan bagi memenuhi keperluan operasi dan industri semasa.
Katanya, antara projek strategik yang sedang dilaksanakan termasuk kerja pengorekan dan kerja berkaitan di Delta Batang Baram, Miri yang dijangka siap menjelang akhir 2026 bagi membolehkan kapal berkapasiti lebih besar berlabuh di Pelabuhan Miri.
Selain itu ujar beliau, kawasan simpanan kenderaan di Terminal Senari turut diperluas untuk menampung tambahan 1,000 kenderaan sekali gus meningkatkan kapasiti keseluruhan kepada 3,500 kenderaan menjelang 2026.
Tambahnya, Terminal Senari turut akan diperluas dengan tambahan dermaga sepanjang 250 meter termasuk 30 meter bagi tambatan ikan lumba-lumba untuk membolehkan lebih banyak kapal dikendalikan di pelabuhan.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kapasiti tahunan kawasan kontena juga akan ditingkatkan sebanyak 200,000 TEUs menjelang 2028 bagi menampung peningkatan jumlah kargo.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa proses penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak bernilai RM1.8 bilion dijangka dimuktamadkan menjelang akhir Jun 2026.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang