Penubuhan SACED Perkukuh Diplomasi Tenaga & Kelestarian Alam Sarawak
KUCHING: Penubuhan Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED) menjadi langkah strategik kerajaan Sarawak dalam memperkukuh diplomasi tenaga, iklim dan kelestarian di peringkat domestik serta antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penubuhan itu pada April tahun ini bakal menjadi pemacu utama penyelarasan dasar berkaitan iklim dan tenaga, sejajar dengan usaha Sarawak memperkukuh kedudukan dalam ekonomi hijau global.
“SACED akan membantu memastikan pendekatan tadbir urus Sarawak kekal tersusun, berwibawa dan selaras dengan kedudukan ekonomi serta hubungan antarabangsa negeri ini secara keseluruhan,” ujar beliau dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan penubuhan unit ini selaras dengan usaha Sarawak yang giat meneroka teknologi iklim generasi baharu termasuk penyingkiran karbon berasaskan air laut, pengeluaran bersama hidrogen rendah karbon serta penyelesaian pengurusan karbon termaju.
“Iklim, tenaga dan kelestarian kini bukan lagi sekadar isu alam sekitar, sebaliknya telah menjadi sebahagian penting dalam perancangan ekonomi yang memberi kesan kepada daya saing jangka panjang Sarawak,” ujar beliau lagi.
Dengan penubuhan SACED, Sarawak dilihat semakin agresif mengorak langkah memperluas pengaruhnya dalam diplomasi tenaga dan agenda pembangunan lestari di peringkat global. -EDISI UKAS