Pelancaran TIC Bintulu 11 Jun Ini Pacu Transformasi Industri Rendah Karbon Sarawak
KUCHING: Pelancaran Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) di Bintulu pada 11 Jun depan bakal menjadi pemangkin penting kepada transformasi industri Sarawak ke arah pembangunan berteknologi tinggi, rendah karbon dan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif TIC itu akan mempercepatkan pemodenan sektor industri negeri menerusi kerjasama strategik antara industri, kerajaan serta pihak berkepentingan.
“Saya berbangga untuk berkongsi bahawa kita kini mempunyai lebih daripada 20 penandatangan TIC yang terdiri daripada pemain industri, agensi kerajaan dan institusi akademik,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau yakin TIC Bintulu berpotensi muncul sebagai hab utama transformasi industri negara, khususnya dalam bidang pendigitalan, penyahkarbonan dan inovasi teknologi rendah karbon.
“Potensi dipacu oleh kedudukan koridor Bintulu-Samalaju yang kini menempatkan pelbagai aset industri strategik termasuk sektor gas, Gas Asli Cecair (LNG), petrokimia, hidrogen, pemprosesan logam, baja dan tenaga boleh diperbaharui,” ujar beliau lagi.
Jelas beliau lagi, TIC Bintulu akan menjadi antara pemangkin utama kepada pemodenan sektor industri Sarawak selain membuka peluang ekonomi jangka panjang kepada rakyat negeri ini menerusi pembangunan industri masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.-EDISI UKAS