Sarawak Terus Pertahan Hak MA63, Utama Kestabilan Demi Kemajuan Negeri
KUCHING: Kerajaan Sarawak bertekad akan terus mempertahankan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk hak berkaitan sumber minyak dan gas demi memastikan kepentingan rakyat Sarawak terus terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendirian kerajaan negeri kekal konsisten dalam memperjuangkan hak Sarawak selaras dengan semangat MA63.
Menurut beliau, kestabilan politik dan keharmonian sosial perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas penting kepada pembangunan negeri serta keyakinan pelabur.
“Tanpa kestabilan dan keharmonian, sukar untuk kita mencapai kemajuan mampan, menarik pelaburan dan memastikan kemakmuran rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menambah, hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuhkan, namun pada masa sama Sarawak tetap menuntut peruntukan sewajarnya bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Katanya, antara keutamaan utama ialah pembangunan infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air, sekolah, klinik dan hospital, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Menyentuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau berkata tempoh kurang empat tahun menuju 2030 merupakan fasa penting bagi merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sehubungan itu, beliau menggesa semua agensi pelaksana serta anggota perkhidmatan awam agar mengelakkan sebarang kelewatan tidak perlu dalam pelaksanaan projek, penyampaian perkhidmatan, proses kelulusan dan membuat keputusan demi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.- EDISI UKAS