Agenda Pembangunan Mampan Premier Sarawak Terima Pengiktirafan Antarabangsa
KUCHING: Kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memperjuangkan agenda pembangunan mampan terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau dianugerahkan Sustainability Visionary Award oleh United Nations Global Compact Network Malaysia and Brunei pada Januari lalu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan kepimpinan berwawasan Premier Sarawak dalam menerajui pembangunan mampan dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi kelestarian global.
Menurut beliau, aspirasi itu turut diterjemahkan menerusi pelaksanaan dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memastikan pembangunan infrastruktur negeri lebih mampan, selamat dan berdaya tahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan Sarawak, malah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memacu pembangunan yang seimbang antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah beliau, antara pendekatan inovatif yang sedang dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi water bag bagi projek Lebuh Raya Sebuyau-Lingga, pembinaan lebuh raya bertingkat sepanjang 11 kilometer antara Batang Samarahan dan Jambatan Batang Sadong serta pembinaan terowong jalan raya pertama Sarawak sepanjang 2.24 kilometer di bawah Projek Jalan Perhubungan Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 2.
Katanya lagi, projek viaduk sepanjang 798.6 meter merentasi Taman Negara Sedilu turut dibangunkan sebagai langkah meminimumkan impak terhadap kawasan sensitif alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Lembaga Pelabuhan Kuching kini giat melaksanakan agenda hijau melalui penggunaan peralatan berkuasa elektrik termasuk kren dermaga serta pemasangan lampu LED cekap tenaga bagi mengurangkan pelepasan karbon dan kos operasi.
Tambahnya, Lembaga Pelabuhan Miri juga telah melaksanakan kemudahan bekalan kuasa pantai untuk kapal berlabuh selain menaik taraf sistem pencahayaan LED di semua premis sebagai sebahagian daripada inisiatif ESG pelabuhan tersebut.-EDISI UKAS