Rangkaian Jalan Raya Di Sarawak Kini Mencecah 40,255 KM
KUCHING: Rangkaian jalan raya di Sarawak kini mencecah 40,255 kilometer yang merangkumi 38,634 kilometer jalan negeri dan 1,621 kilometer jalan persekutuan yang diselenggara di bawah program penyelenggaraan kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 6,908 kilometer yang direkodkan pada tahun 2025.
“Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh penukaran dan pendaftaran bekas jalan balak, termasuk jalan pembalakan aktif dan tidak aktif, kepada jalan negeri di bawah program penyelenggaraan kerajaan yang melibatkan keseluruhan jarak sejauh 5,977 kilometer,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah melancarkan misi ‘Last Mile’ sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk merapatkan jurang keterhubungan yang masih wujud, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Jelas Datuk Amar Douglas Uggah, jalan-jalan ini pada masa ini belum diselenggara di bawah program penyelenggaraan kerajaan di mana kebanyakan jalan tersebut terdiri daripada bekas jalan balak serta jalan pembalakan aktif dan tidak aktif.
“Walaupun jalan-jalan ini menjadi satu-satunya akses darat bagi banyak komuniti, ia masih belum diambil alih dan disenggara secara rasmi oleh kerajaan.
“Menyedari perkara ini, kementerian saya bersama JKR Sarawak telah melaksanakan penilaian lapangan dan kerja-kerja pengenalpastian secara menyeluruh di seluruh Sarawak bagi memastikan semua laluan yang masih belum lengkap ini didokumentasikan dan ditangani dengan sewajarnya.
“Melalui inisiatif ini, sebanyak 5,977 kilometer jalan ‘last mile’ telah dikenal pasti untuk diambil alih oleh kerajaan dan dimasukkan di bawah program penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS),” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meluluskan cadangan untuk jalan-jalan tersebut diambil alih, dinaik taraf dan diselenggara secara berperingkat di bawah skim penyelenggaraan jalan negeri MARRIS bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan aksesibiliti masyarakat luar bandar. -EDISI UKAS