NADMA Lulus Dua Projek PPKB Di Sarawak, Perkukuh Pengurusan Bencana
KUCHING: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meluluskan dua projek Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Sarawak dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan pengurusan bencana di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan PPKB di Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek, Kuching dan Long Busang, Kapit.
Menurut beliau, projek di SK Beradek bernilai RM8.5 juta kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun ini, manakala projek di Long Busang bernilai RM9 juta masih berada pada peringkat reka bentuk.
"Pembangunan PPKB bertujuan menyediakan kemudahan lebih selamat, selesa dan khusus untuk mangsa bencana secara kekal, selain mengurangkan kebergantungan terhadap sekolah sebagai pusat pemindahan sementara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Sementara itu jelasnya, melalui kemudahan ini, operasi pemindahan dan bantuan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur, sekali gus memperkukuh sistem tindak balas bencana negara.-EDISI UKAS