267 Projek Pacu Agenda Pembangunan Sarawak di Bawah RMK-13
KUCHING: Sebanyak 267 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM31.30 bilion akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di bawah pembiayaan kerajaan negeri menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek tersebut menjadi kesinambungan kepada agenda pembangunan strategik negeri susulan peralihan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada RMK-13 menjelang tahun 2026.
Menurut beliau, keutamaan akan diberikan kepada kesinambungan projek berimpak tinggi bagi memastikan asas pembangunan yang telah diwujudkan di bawah RMK-12 dapat direalisasikan secara menyeluruh dalam fasa pembangunan negara seterusnya.
“Daripada keseluruhan 267 projek itu, sebanyak 172 projek melibatkan pembinaan jalan raya, diikuti 37 projek jambatan, 40 projek bangunan, 14 projek struktur sungai dan empat projek lapangan terbang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu setakat ini sebanyak 74 projek telah berjaya disiapkan dengan nilai keseluruhan RM4.8 bilion, termasuk 124 projek yang kini sedang dalam pembinaan melibatkan kos RM20.3 bilion, manakala 24 projek berada pada peringkat tender dengan kos RM4.1 bilion.
Tambah beliau, baki 45 projek lagi kini berada pada peringkat pra-kontrak dengan nilai keseluruhan RM2.1 bilion. -EDISI UKAS