Perkhidmatan Awam Sarawak Diperkasa Lebih Tangkas, Dekati Rakyat
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak terus diperkasa ke arah sistem penyampaian yang lebih tangkas, responsif dan berorientasikan hasil bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg menegaskan, budaya kerja sedia ada perlu ditransformasikan kepada pendekatan yang lebih kolaboratif, berpandukan data serta menekankan inovasi proaktif.
Menurutnya, fokus perkhidmatan awam juga perlu beralih daripada pentadbiran rutin kepada pelaksanaan yang lebih berkesan dengan memfokuskan inovasi proaktif.
“Pegawai-pegawai kerajaan mesti sentiasa turun padang, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi mendengar sendiri suara rakyat serta memahami keperluan mereka dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata pentadbirannya turut melaksanakan pelbagai program dan manfaat bagi menjaga kebajikan serta meningkatkan keupayaan penjawat awam negeri.
Menurutnya, inisiatif tersebut diharap dapat menjadi pemangkin motivasi kepada penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.-EDISI UKAS