Sarawak Pantas Tangani Kesan Bencana, 629 Projek Kecemasan Dilaksana
KUCHING: Usaha pemulihan dan pembaikan infrastruktur akibat bencana di Sarawak menunjukkan skala pelaksanaan yang besar dan berterusan sejak 2023, dengan ratusan projek kecemasan dilaksanakan bagi memastikan akses dan keselamatan rakyat tidak terjejas.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 629 projek Kerja Tindakan Kecemasan bernilai RM696 juta telah diluluskan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 366 projek bernilai RM277.19 juta telah siap dilaksanakan, manakala baki 263 projek bernilai RM418.82 juta sedang giat dijalankan pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Menyedari keperluan mendesak ini, Kerajaan Sarawak terus melaksanakan langkah-langkah tindak balas segera dan pemulihan bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin serta kesinambungan hubungan perhubungan dapat dipulihkan,"katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam masa sama, Datuk Amar Douglas turut memaklumkan bahawa sebanyak 170 projek bernilai RM44.68 juta di bawah Tabung Bantuan Kerja Kecemasan Kecil (MEWAF), telah diluluskan sejak 2020.
Ujarnya lagi, daripada jumlah itu, 87 projek bernilai RM23.73 juta telah siap, manakala 83 projek lagi bernilai RM20.95 juta sedang dalam pelaksanaan.-EDISI UKAS