Sarawak Rancang Wujudkan Kampus Data AI Kuching Di Tanjung Embang
KUCHING: Sarawak merancang mewujudkan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) Kuching di Tanjung Embang sebagai pemangkin kepada pembangunan ekosistem Grid AI masa depan negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tapak seluas 405 hektar telah dikenal pasti bagi pembangunan projek tersebut.
"Ia akan dilengkapi dengan bekalan tenaga dan air khusus bagi menyokong operasi pusat data, pengkomputeran AI dan nod kesalinghubungan digital," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan penggulungannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, projek ini akan dilaksanakan melalui pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP), bermula dengan fasa awal melibatkan kawasan seluas kira-kira 120 hektar.
Ujarnya, lawatan ke Isambard-AI iaitu superkomputer AI terpantas dan paling berkuasa di United Kingdom memperkukuh aspirasi Sarawak untuk membangunkan infrastruktur pengkomputeran AI berdaulat yang mampu menjadi tulang belakang kepada masa depan digital Sarawak.
Jelasnya, hasrat ini meletakkan Bumi Kenyalang sebagai pemain utama dalam ekonomi digital serantau sebagai sebuah tempat yang memupuk inovasi, menghargai bakat sekali gus memastikan rakyat dapat manfaat revolusi AI yang akan dikongsi bersama. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery