Stigma Masyarakat Tidak Wajar Halang Mangsa Dapatkan Perlindungan
SARIKEI: Rasa malu dan kebimbangan terhadap pandangan masyarakat tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mangsa keganasan rumah tangga untuk tampil mendapatkan perlindungan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, perubahan persepsi masyarakat penting bagi memastikan mangsa tidak berasa tersisih apabila berdepan situasi penderaan.
Menurutnya, sikap masyarakat yang menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi menyebabkan kes penderaan terus tersembunyi dan mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Usaha meningkatkan kesedaran perlu diteruskan supaya masyarakat memahami bahawa isu ini bukan perkara yang boleh diterima dan tidak seharusnya disembunyikan atas alasan menjaga nama baik keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perundangan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, pada Sabtu.
Datuk Len Talif berkata, keganasan rumah tangga bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan psikologi mangsa.
Katanya, lelaki juga berisiko mengalami keganasan daripada pasangan, namun tanggapan bahawa mereka sentiasa mampu mempertahankan diri menyebabkan penderitaan golongan itu berkemungkinan dipandang ringan.
Beliau menegaskan, keluarga dan masyarakat perlu menunjukkan keprihatinan dengan membantu mangsa mendapatkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka menghadapi penderaan bersendirian kerana takut akan tanggapan orang lain.
Tambahnya, pemahaman mengenai perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) perlu dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat mengetahui hak mangsa dan kepentingan mendapatkan bantuan untuk menghentikan penderaan. -EDISI UKAS