SARIKEI: Orang ramai diseru supaya melaporkan kejadian keganasan rumah tangga kepada pihak berkuasa dan mengelakkan penyebaran rakaman kejadian di media sosial bagi melindungi keselamatan serta privasi mangsa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, masyarakat perlu mengambil tindakan yang sewajarnya apabila mengetahui atau mengesyaki berlakunya penderaan.
“Orang ramai tidak seharusnya sekadar merakam atau menyebarkan kejadian di media sosial, sebaliknya perlu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perundangan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, pada Sabtu.
Menurutnya lagi, mangsa keganasan rumah tangga memerlukan perlindungan dan sokongan masyarakat bagi membantu mereka mendapatkan pertolongan melalui saluran yang betul.
Beliau berkata, orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak polis atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk mendapatkan bantuan dan panduan lanjut.
Tegasnya, usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan kerjasama semua pihak agar kejadian sedemikian tidak dipandang ringan dan mangsa dapat memperoleh perlindungan sewajarnya. -EDISI UKAS