BETONG: Pendekatan mendekati masyarakat secara langsung penting bagi memahami keadaan dan keperluan golongan yang memerlukan, selain memastikan kebajikan mereka terus mendapat perhatian.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, usaha menyantuni masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan dapat menyemarakkan semangat keprihatinan dan memperkukuh hubungan dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Parlimen Betong Tahun 2026 di Dewan Al-Husna, Masjid Jamek Betong, pada Sabtu.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong itu berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Oktober 2026.
Terdahulu, Dato Dr Richard turut mengadakan aktiviti Santunan Kebajikan (Ziarah Kasih) di sekitar Kampung Melayu Betong sebagai sebahagian daripada pengisian program bagi menyantuni golongan yang memerlukan.
Antara pengisian program termasuk solat berjemaah dan tazkirah, aktiviti riadah bersama penduduk kampung, pameran daripada agensi kerajaan serta ceramah pengukuhan komuniti.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Betong DSP Wan Mohamad Ali, Ahli Majlis Daerah bagi Kampung Melayu Betong Kaunselor Abdul Rahim serta Penghulu Kampung Melayu Betong Kon Sapawi. -EDISI UKAS