KMKK Diseru Perluas Kesedaran Keganasan Rumah Tangga
SARIKEI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru mempergiat penyebaran maklumat mengenai perlindungan undang-undang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, KMKK berperanan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan hak mangsa dan saluran mendapatkan bantuan, khususnya kepada penduduk di kampung dan rumah panjang.
Menurutnya, pengetahuan yang diperoleh menerusi program advokasi perlu dikongsi dengan masyarakat setempat supaya mereka lebih memahami isu keganasan rumah tangga serta langkah mendapatkan perlindungan sewajarnya.
“Pemimpin komuniti juga boleh membantu menghubungkan individu yang memerlukan perlindungan dengan agensi berkaitan, selain menggalakkan mereka mendapatkan bantuan melalui saluran yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perundangan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, pada Sabtu.
Datuk Len Talif berkata, setiap kes perlu ditangani secara berhati-hati dengan mengutamakan keselamatan mangsa serta menjaga kerahsiaan maklumat bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko tambahan.
Tambahnya, kerjasama antara KMKK, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting bagi memperkukuh penyampaian maklumat serta memastikan mangsa mengetahui bantuan yang tersedia. -EDISI UKAS