Pesta Song 2026 Angkat Warisan, Promosi Potensi Daerah
KAPIT: Pesta Song 2026 menjadi platform untuk mempromosikan keistimewaan Daerah Song kepada masyarakat umum menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang menggabungkan sukan, budaya dan warisan masyarakat setempat.
Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran pesta itu bukan sahaja mengetengahkan acara sukan seperti perlumbaan bot kuasa dan lumba perahu, malah turut meraikan warisan budaya turun-temurun masyarakat setempat.
“Selain acara utama seperti perlumbaan Power Boat dan Lumba Perahu, penganjuran Pesta Song 2026 turut meraikan keindahan budaya dan warisan turun-temurun, malah menjadi wadah untuk mengangkat identiti, menyerlahkan potensi serta memperkenalkan keistimewaan Daerah Song kepada masyarakat umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Song 2026, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Alexander turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Pesta Song 2026 dan masyarakat Daerah Song atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan penganjuran pesta berkenaan.
Pesta yang dianjurkan Jawatankuasa Induk Pesta Song 2026 itu berlangsung dari 16 hingga 25 Oktober dengan pelbagai aktiviti, termasuk bazar jualan, pentas rakyat, sukan rakyat, pertandingan memancing serta perlumbaan bot kuasa dan lumba perahu.
Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan pelumba bot kuasa dari Singapura, Brunei Darussalam dan Australia, selain perlumbaan bot berkuasa tinggi 200 kuasa kuda dalam kategori F2000.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang serta Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin. -EDISI UKAS