Sarawak Sasar Lancar Nanosatelit Pertama Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak menyasarkan pelancaran nanosatelit pertamanya menjelang tahun 2030 menerusi teknologi berasaskan CubeSat sebagai langkah memperkukuh pembangunan sektor aeroangkasa negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi tersebut melibatkan penggunaan satelit kecil bagi tujuan data masa nyata dan pemerhatian bumi.
"Sarawak akan mempunyai keupayaan untuk membangunkan sistem satelitnya sendiri bagi memperoleh imejan bumi, data geolokasi dan maklumat strategik untuk tujuan perancangan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan sumber," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan penggulungannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Sehubungan itu jelasnya, Sarawak Aerospace Advisory Council (SAAC) turut ditubuhkan bagi menyediakan hala tuju strategik dan panduan menyeluruh dalam memacu pembangunan sektor aeroangkasa Sarawak selaras dengan piawaian industri global semasa.
Menurutnya, Sarawak Space Agency juga akan ditubuhkan sebagai entiti penyelaras utama yang berperanan dalam perancangan, menjalin kerjasama strategik serta membangunkan keupayaan tempatan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery