JobSarawak Instrumen Utama Kerajaan Perkemas Padanan Pekerjaan & Pembangunan Tenaga Kerja
KUCHING: Platform digital pekerjaan, JobSarawak kini muncul sebagai antara instrumen utama kerajaan Sarawak dalam memperkemas padanan pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, penekanan diberikan kepada penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan akses pekerjaan serta memperkukuh hubungan antara pencari kerja dan majikan.
Menurutnya, JobSarawak berfungsi sebagai platform satu hentian yang memudahkan carian kerja merentasi pelbagai sektor, termasuk pekerjaan sepenuh masa, sambilan, kontrak dan gig, selaras dengan perubahan corak pekerjaan semasa.
"Dengan kerjasama Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) serta integrasi dengan agensi persekutuan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), JobSarawak meningkatkan penyelarasan antara Sarawak dan agensi tenaga kerja nasional, di samping memudahkan penyertaan majikan dan pencari kerja di seluruh Sarawak,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bersempena dengan Persidanga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Sejak dilancarkan pada 15 Januari 2025, JobSarawak mencatat lebih 1 juta lawatan laman web, dengan lebih daripada 10,000 syarikat berdaftar yang menawarkan pelbagai kekosongan jawatan, serta menarik lebih 21,000 pencari kerja berdaftar di seluruh negara.
Kerajaan Sarawak menyifatkan perkembangan ini sebagai petunjuk awal keberkesanan transformasi digital dalam sektor pekerjaan, selain menyokong usaha meningkatkan penyertaan tenaga kerja dan pengekalan bakat tempatan.-EDISI UKAS