MIRI: Wakil Bintulu, Gracelyn Tigang, dinobatkan sebagai juara Miss Grand Sarawak 2026 dalam acara kemuncak yang berlangsung meriah di Pentas Utama, Pusat Membeli-belah Boulevard, di sini, pada Rabu.
Pertandingan yang bermula seawal jam 7 malam itu menghimpunkan seramai 14 finalis dari seluruh Sarawak yang tampil mempamerkan keanggunan, keyakinan diri, bakat serta keupayaan membawa advokasi masing-masing di pentas akhir.
Selain merangkul gelaran utama, Gracelyn turut mengungguli kategori Best Pageant Week Outfit, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peserta paling menyerlah sepanjang pertandingan.
Naib juara dimenangi wakil Lingga, Elene Sulissa, manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Sebauh, Juyanti Jelimah.
Ketiga-tiga pemenang ini akan mewakili Sarawak ke pertandingan Miss Grand Malaysia 2026, dengan juara kebangsaan bakal membawa nama negara ke pentas Miss Grand International yang dijadual berlangsung di India pada Oktober depan.
Sepanjang pertandingan, beberapa anugerah sampingan turut dipertandingkan bagi mengiktiraf kelebihan peserta dalam pelbagai aspek.
Antaranya, gelaran Miss Social Media dimenangi wakil Lingga, Best Introduction oleh wakil Tatau, Best Evening Gown oleh wakil Mukah dan Best Walk oleh wakil Miri.
Penaja utama, The Fisherman Wharf Miri & KK turut menyampaikan gelaran khas tajaan seperti Miss Corporate Queen (Tatau), Miss Pearl Elegance (Bandaraya Kuching Utara) dan Miss Influencer Charm (Lingga).
Pertandingan tersebut turut mencerminkan kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat apabila terdapat peserta dari luar Sarawak yang mewakili bahagian tertentu, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan peserta pelbagai latar belakang.
Miss Grand Sarawak 2026 dianjurkan oleh Aldrin’s Artistry dengan kerjasama Miri Events & Decor Specialist di bawah pimpinan Elvin George.
Penganjuran pertandingan ini dilihat terus memainkan peranan penting dalam membina keyakinan, kepimpinan serta memperkasa wanita muda, di samping mempromosikan Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa.-EDISI UKAS