Majlis Makan Malam Mantar Gawai Daerah Lubok Antu 2026 Berlangsung Meriah
LUBOK ANTU: Majlis Makan Malam Mantar Gawai Daerah Lubok Antu 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat serta pemimpin negeri dalam suasana penuh adat dan kebudayaan sempena sambutan Hari Gawai.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berasa teruja dapat bersama komuniti di Lubok Antu sempena sambutan Gawai selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha pembangunan kawasan luar bandar serta peningkatan taraf hidup masyarakat di kawasan pedalaman dan pesisir.
“Ekonomi Sarawak kini semakin berkembang maju dan rakyat perlu bersama-sama menjaga segala kemudahan serta pembangunan yang telah disediakan demi kemajuan negeri,” katanya dalam majlis tersebut di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu, pada Sabtu.
Majlis turut diserikan dengan persembahan ‘Gendang Pampat’ oleh Persatuan Main Asal Iban Batang selain persembahan tarian ngajat oleh kumpulan La Ngindang Lubok Antu yang mencuri perhatian para tetamu yang hadir.
Acara kemuncak malam tersebut ialah pertandingan Kumang Gawai Daerah Lubok Antu 2026 yang disertai oleh lapan finalis.
Gelaran Kumang Gawai Daerah Lubok Antu 2026 telah dinobatkan kepada Aguilera Nita Eugenie Berjaya dari Tawai, Engkilili sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000, trofi, bunga tangan, sijil dan selempang.
Naib johan pula dimenangi oleh Dyra Marcella Nickson Luta dari Merindun yang menerima wang tunai RM5,000 beserta trofi, bunga tangan, sijil dan selempang.
Tempat ketiga dimenangi oleh Cynthia Chong Tze Yie dari Selindung Ulu yang membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama trofi, bunga tangan, sijil dan selempang.
Sementara itu, gelaran ‘King of Night’ menjadi milik Father Afron Gorie yang tampil segak mengenakan pakaian tradisional Bidayuh, sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 dan trofi. -EDISI UKAS