Kejohanan Tinju Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 Cipta Sejarah Sulung Di Miri
MIRI: Edisi kelima Kejohanan Tinju Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 bakal mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dianjurkan di Stadium Tertutup Miri dari 23 hingga 28 Jun depan.
Kejohanan berprestij yang menghimpunkan petinju tempatan dan antarabangsa itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penganjuran sukan bertaraf antarabangsa selain merancakkan sektor pelancongan sukan negeri.
Kejohanan tersebut dianjurkan menerusi kerjasama Persatuan Tinju Sarawak (SABA), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Presiden SABA Dato Rahman Lariwoo berkata, kejohanan berkenaan turut berperanan sebagai platform pendedahan dan persiapan atlet menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor.
“Kejohanan ini bakal menampilkan petinju dari Sarawak, seluruh negara serta peserta antarabangsa yang dijangka memeriahkan pertandingan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur di Stadium Miri pada Rabu.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil Kementerian Belia dan Sukan serta beberapa kementerian dan agensi berkaitan.
Menurut Dato Rahman, kejohanan tersebut kini berkembang menjadi platform penting dalam pembangunan sukan tinju dan pelancongan sukan di Sarawak selain membantu atlet meningkatkan kemahiran dan pengalaman menjelang temasya sukan utama pelbagai peringkat.
Justeru, beliau menyeru peminat sukan tinju khususnya di Miri dan kawasan utara Sarawak tampil memberikan sokongan terhadap penganjuran sulung kejohanan itu di bandar raya peraginan itu.
Jelasnya lagi, sambutan antarabangsa terhadap kejohanan itu juga amat menggalakkan apabila telah menerima pengesahan penyertaan dan pertanyaan daripada Brunei, Singapura, Indonesia, Sri Lanka dan masih menunggu maklum balas daripada Thailand serta Filipina.
Majlis perasmian rasmi kejohanan dijadual berlangsung pada 26 Jun dan semua wakil rakyat telah dijemput bagi memeriahkan acara tersebut.
Dalam pada itu, jawatankuasa penganjur turut menyeru syarikat-syarikat utama di Miri tampil memberikan tajaan dan sokongan bagi memastikan kejohanan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Pada edisi lalu yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman, kejohanan itu berjaya menarik penyertaan seramai 241 peserta melibatkan kategori pelajar sekolah, remaja, belia, bawah 22 tahun dan elit. -EDISI UKAS