Program Safety Awareness Day Tingkat Pengetahuan Hadapi Situasi Kecemasan
MIRI: Program Safety Awareness Day 2026 yang julung kali dianjurkan menerusi kerjasama antara Curtin University Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak menjadi platform penting dalam meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai aspek keselamatan dan tindakan kecemasan.
Program yang berlangsung di Foyer Dewan Kuliah Harry Perkins, Curtin Malaysia pada Khamis itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti khususnya golongan belia dan pelajar dalam menghadapi situasi berisiko.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah MKN Sarawak, Mohammad Haffizie Putit dan turut dihadiri Naib Canselor Pro merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Che.
Dalam ucapannya, Mohammad Haffizie berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengetahuan keselamatan serta tindakan asas yang perlu diambil ketika berdepan kecemasan.
Menurut beliau, antara fokus utama program ialah memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai langkah menyelamatkan diri sekiranya terperangkap di dalam kenderaan ketika banjir atau apabila kenderaan terjatuh ke dalam sungai.
Katanya, masyarakat perlu memahami tindakan asas seperti tidak panik, membuka tali pinggang keledar, tidak membuka pintu kenderaan dan segera keluar melalui tingkap bagi meningkatkan peluang menyelamatkan diri.
“Program ini dilaksanakan bagi memastikan masyarakat mempunyai kemahiran dan pengetahuan keselamatan yang boleh digunakan ketika menghadapi situasi kecemasan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengetahuan asas keselamatan amat penting memandangkan masih terdapat kes melibatkan kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan akibat kecuaian penjaga.
Tambah beliau, MKN Sarawak akan terus memperkukuh pelaksanaan program berteraskan keselamatan komuniti dan belia selain mempertingkat kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Sementara itu, Profesor Vincent Lee berkata aspek keselamatan bukan sekadar berkaitan pematuhan peraturan, sebaliknya perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, program tersebut turut bertujuan mendidik dan memperkasa golongan pelajar supaya lebih peka terhadap risiko keselamatan selain mampu membuat keputusan tepat ketika berdepan situasi kecemasan.
“Cabaran berkaitan keselamatan, kesiapsiagaan kecemasan dan kesejahteraan awam tidak boleh ditangani secara bersendirian.
“Kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, badan penguat kuasa dan komuniti amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat,” katanya.
Program berkenaan turut disertai pelajar daripada beberapa institusi pendidikan termasuk i-CATS University College, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Fajar International College dan Riam Institute of Technology.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai ceramah keselamatan dan kesihatan termasuk perkongsian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkaitan tindakan ketika terperangkap di dalam kenderaan serta ceramah kerangka perundangan keselamatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Turut memeriahkan program ialah pameran dan aktiviti interaktif melibatkan beberapa agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Malaysia Red Crescent (MRC) Miri Chapter dan Kementerian Kesihatan Malaysia.-EDISI UKAS