Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 Bawa Harapan Baharu Kepada Rakyat
SEBUYAU: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 bukan sekadar mercu tanda baharu infrastruktur Sarawak, malah membawa sinar perubahan besar kepada kehidupan penduduk pesisir yang sekian lama bergantung kepada pengangkutan feri dan perahu untuk urusan harian.
Bagi masyarakat di Sebuyau dan kawasan sekitarnya, jambatan sepanjang 4.84 kilometer (km) yang menghubungkan Sebuyau dan Triso itu membuka lembaran baharu mobiliti dengan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat.
Penduduk Kampung Baru Sebuyau, Taib Mahli, 41, berkata pembukaan jambatan tersebut amat bermakna kerana ia memudahkan kehidupan harian masyarakat setempat yang sebelum ini perlu menunggu feri untuk menyeberang.
“Perasaan saya gembira… jambatan dah selesai, hidup boleh baik-baik. Semua orang dipermudahkan untuk pergi balik,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar 1 pada Khamis.
Beliau menambah, kemudahan itu turut membantu menjimatkan masa perjalanan terutama bagi penduduk yang kerap berulang-alik ke Kuching dan kawasan berhampiran atas urusan kerja serta keluarga.
Sementara itu, Abdul Majid Ismail, 64, dari Kampung Sebuyau menyifatkan pembukaan jambatan tersebut sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat pesisir.
“Alhamdulillah… apabila jambatan dah siap, kita ada kemudahan. Kita nak pergi mana-mana pun mudah,” katanya.
Jelasnya lagi, jaringan perhubungan yang lebih baik dijangka merancakkan aktiviti perdagangan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.
Bagi Montol Uteh, 73, projek berimpak tinggi itu memberi makna yang cukup besar terutama kepada generasi lama yang telah lama melalui pengalaman bergantung kepada perahu dan feri untuk merentasi Batang Lupar.
“Saya gembira kerana saya tidak perlu memakai perahu lagi. Saya boleh pulang dari Saratok ke Kuching dan pulang pada hari yang sama,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pembukaan jambatan itu sebagai impian masyarakat pesisir yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama menanti kemudahan jaringan jalan raya yang lebih efisien.
Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar 1 disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai simbolik kepada satu lagi kejayaan pembangunan infrastruktur negeri ini. -EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab
Foto: Natalie Cherinie Johnny