Mahasiswa UTS Terima Manfaat Biasiswa Antarabangsa Mitsubishi Corporation Kuala Lumpur
SIBU: Seramai lima pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) terpilih sebagai penerima kumpulan keempat Biasiswa Antarabangsa Mitsubishi Corporation Kuala Lumpur (MC KUL), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan modal insan di Sarawak.
Pemangku Naib Canselor UTS, Profesor Ir. Dr. Mohammad Shahril Osman berkata, biasiswa berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, malah menjadi platform penting dalam membentuk kejayaan akademik dan profesional mahasiswa.
Menurut beliau, sehingga kini seramai 20 pelajar UTS telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut dengan sebahagian daripada mereka berjaya melakar pencapaian cemerlang dalam bidang akademik serta kerjaya masing-masing.
“Pencapaian para penerima terdahulu membuktikan bahawa pendidikan dan sokongan yang diberikan mampu mengubah kehidupan pelajar ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa Antarabangsa MC KUL 2026 yang berlangsung di kampus UTS, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa cabaran kewangan masih menjadi antara isu utama yang dihadapi mahasiswa di Sarawak meskipun kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta program bantuan pelajar lain.
Jelasnya, biasiswa seperti MC KUL amat signifikan dalam membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian serta melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan kampus tanpa dibebani tekanan kewangan.
Lima pelajar yang menerima biasiswa berkenaan ialah Abigail Hii Beng Ching, Charles Sibat Frederick Ganing, Karen Kho Yen Sing, Irene Ling Hsin Yi dan Wendy Teong We Teng.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Besar MC KUL, Kosuke Makino, Timbalan Ketua Jabatan Pentadbiran MC KUL, Riki Mochida, Timbalan Ketua Jabatan Sumber Manusia MC KUL, Juliana Hamzah, Penolong Pengurus Jabatan Pentadbiran MC KUL, Shafura Ariff serta Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar UTS, Lu Yew King.- EDISI UKAS