LONG LAMA: Pekan Long Lama bersedia menyambut kedatangan ramai pengunjung apabila bakal menganjurkan Festival Budaya Baram 2026 pada 22 hingga 23 Mei ini.
Festival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kayan Sarawak dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) serta masyarakat Baram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, gerai-gerai komuniti sudah dibuka sejak Rabu sekali gus memeriahkan suasana di kawasan berkenaan.
“Gerai-gerai komuniti tersebut merupakan antara komponen penting dalam memeriahkan festival selain membantu merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
“Ia menawarkan pelbagai jualan makanan, minuman serta produk tempatan kepada pengunjung,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Dato Dennis yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berkata, sekitar 6,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang festival berkenaan.
“Tumpuan utama ialah pertandingan bot laju yang menawarkan hadiah keseuruhan berjumlah RM62,000 termasuk piala,” katanya sambil menambah peserta termasuk dari Brunei, Kuching dan Sibu.
Selain pertandingan bot laju, turut diadakan Pertandingan Makanan Asen serta pelbagai acara sukan rakyat.
Ujarnya, pada sebelah malam pula akan berlangsung Pertandingan Nyivan Sin Lelaki dan Perempuan, Pertandingan Datun Julud dan juga Pertandingan Ratu Ibu Baram.
Bagi menambah kemeriahan suasana, persembahan artis jemputan turut akan diadakan pada malam festival berlangsung.
Dato Dennis menambah, festival ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan keunikan budaya masyarakat pelbagai etnik di Baram selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
“Orang ramai dijemput hadir ke pekan Long Lama pada hujung minggu ini bagi bersama-sama menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun sepanjang festival berlangsung,” katanya. - EDISI UKAS