![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Setiap ibu bapa yang menghantar anak ke pusat asuhan membawa satu harapan besar iaitu supaya anak mereka dijaga dengan penuh kasih sayang, dilindungi daripada bahaya, dan berkembang dalam persekitaran yang selamat. Namun, kebelakangan ini, kita semakin dikejutkan dengan pelbagai kes kecuaian dan penderaan kanak-kanak malah hingga menyebabkan kematian yang berlaku di pusat asuhan. Insiden seperti ini bukan sahaja meruntun hati, malah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi penjagaan awal kanak-kanak.
Hakikatnya, keselamatan di pusat asuhan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia menuntut kerjasama erat antara pengusaha pusat asuhan, pengasuh, agensi berkaitan dan juga ibu bapa. Tanpa kesedaran dan komitmen bersama, risiko terhadap keselamatan anak-anak akan terus wujud.
Antara isu utama yang sering timbul ialah kecuaian dalam pemantauan. Kanak-kanak yang masih kecil memerlukan perhatian berterusan kerana mereka belum mampu menjaga diri sendiri. Kes seperti terjatuh, tercekik makanan, atau dibiarkan tanpa pengawasan bukan perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat yang serius. Lebih membimbangkan, terdapat juga kes penderaan fizikal dan emosi yang berlaku secara tersembunyi, jauh daripada pengetahuan ibu bapa berlaku di pusat asuhan.
Bagi menangani isu ini, garis panduan keselamatan di pusat asuhan perlu dipatuhi dengan tegas. Pertama, nisbah pengasuh kepada kanak-kanak mesti bersesuaian. Pengasuh yang terlalu sedikit akan menyebabkan pengawasan menjadi lemah. Kedua, semua pengasuh perlu menjalani latihan asas penjagaan kanak-kanak termasuk pertolongan cemas dan pengurusan kecemasan. Ini penting bagi memastikan mereka mampu bertindak pantas jika berlaku sebarang insiden.
Selain itu, persekitaran pusat asuhan perlu selamat dan mesra kanak-kanak. Peralatan seperti katil bayi, mainan dan ruang permainan mesti memenuhi standard keselamatan. Sudut tajam, bahan berbahaya dan kawasan berisiko perlu dielakkan atau dilindungi. Sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) juga boleh membantu meningkatkan ketelusan dan memberi keyakinan kepada ibu bapa.
Peranan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tidak boleh dipandang ringan. Pemantauan berkala terhadap pusat asuhan perlu dilakukan secara konsisten, bukan sekadar di atas kertas. Lesen operasi harus diberikan hanya kepada pusat yang benar-benar memenuhi syarat keselamatan dan kebajikan kanak-kanak. Selain itu, program latihan dan pensijilan untuk pengasuh perlu diperkasakan agar mereka bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga kompeten dan profesional.
Agensi juga boleh memainkan peranan dalam menyediakan saluran aduan yang mudah diakses oleh ibu bapa. Setiap aduan perlu disiasat dengan telus dan tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai atau melakukan penderaan. Ketegasan ini penting sebagai pengajaran dan langkah pencegahan.
Namun begitu, ibu bapa juga mempunyai peranan yang sangat penting. Jangan hanya bergantung sepenuhnya kepada pusat asuhan tanpa membuat pemantauan sendiri. Pilih pusat asuhan yang berdaftar dan mempunyai reputasi baik. Luangkan masa untuk melawat pusat tersebut, perhatikan cara pengasuh berinteraksi dengan kanak-kanak, dan tanya tentang prosedur keselamatan yang diamalkan.
Komunikasi antara ibu bapa dan pengasuh juga perlu sentiasa terbuka. Tanyakan perkembangan anak setiap hari, perhatikan perubahan tingkah laku anak, dan ambil serius jika anak menunjukkan tanda-tanda ketakutan atau kecederaan yang mencurigakan. Jangan takut untuk bersuara jika ada perkara yang meragukan.
Selain itu, ibu bapa boleh membentuk komuniti kecil sesama mereka untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan pusat asuhan. Sokongan komuniti ini mampu menjadi nilai tambah dalam memastikan kebajikan anak-anak sentiasa terjaga.
Keselamatan kanak-kanak bukan perkara yang boleh dikompromi. Setiap kecuaian, walaupun kecil, boleh membawa kesan besar kepada masa depan mereka. Anak-anak yang dititipkan ke pusat asuhan bukan sekadar dijaga dan diasuh tetapi diamanahkan dengan penuh harapan.
Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu memperkukuh sistem penjagaan awal kanak-kanak di negara ini. Dengan garis panduan yang jelas, penguatkuasaan yang tegas, pengasuh yang kompeten dan ibu bapa yang peka, kita mampu mewujudkan persekitaran yang benar-benar selamat untuk anak-anak. Kerana di sebalik setiap senyuman anak kecil itu, ada kepercayaan besar yang perlu kita jaga bersama.