Warga Emas Penyumbang Penting Dalam Pembentukan Masyarakat
MIRI: Golongan warga emas terus diiktiraf sebagai aset berharga yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembentukan sejarah, pembangunan serta kemajuan masyarakat, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, warga emas bukan sahaja menjadi saksi perjalanan pembangunan, malah memainkan peranan penting dalam membina asas kemajuan yang dinikmati masyarakat hari ini.
“Warga emas ialah aset berharga yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat hari ini,” katanya ketika merasmikan Persatuan Hing Ann Miri – Majlis Nyanyian dan Jamuan Tengah Hari Warga Emas (Senior Citizen Singing Fellowship & Lunch Gathering) di Boulevard Restaurant pada Ahad.
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja menyediakan ruang kepada warga emas untuk berkumpul, berinteraksi dan berkongsi minat, malah menggalakkan gaya hidup yang aktif, sihat dan bermakna selepas persaraan.
Beliau berkata, persatuan mengikut daerah asal turut memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan sesama ahli, selain menjadi platform memelihara budaya, bahasa, pendidikan, kebajikan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Mengulas sejarah perkembangan masyarakat Cina di Sarawak, beliau berkata lebih 100 tahun lalu, nenek moyang masyarakat Cina berhijrah dari wilayah seperti Fujian dan Guangdong sebelum berjaya membina kehidupan baharu melalui semangat rajin berusaha, berdikari, saling membantu dan bersatu hati.
Katanya, hasil usaha generasi terdahulu bukan sahaja membentuk institusi keluarga dan perniagaan, malah melahirkan pelbagai persatuan, sekolah, rumah ibadat serta organisasi masyarakat yang menjadi asas kepada pembangunan komuniti hari ini.
Beliau turut menyifatkan ramai warga emas sebagai saksi dan penyumbang kepada pembangunan Miri daripada era awal sehingga bandar raya itu berkembang menjadi sebuah pusat ekonomi yang pesat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti Hing Ann, Foochow, Hokkien, Teochew dan Hakka, semua rakyat Sarawak berkongsi identiti yang sama sebagai rakyat Sarawak dan Malaysia.
Beliau berharap semangat perpaduan serta kerjasama antara persatuan dapat terus diperkukuh dan diwariskan kepada generasi muda melalui pelbagai program kebudayaan, belia, bahasa dan tradisi.
Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa konsep penuaan sihat bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal, malah merangkumi kesejahteraan mental, emosi dan sosial, justeru penglibatan warga emas dalam aktiviti nyanyian, kebudayaan dan kemasyarakatan perlu terus diperkasakan bagi memastikan mereka menjalani kehidupan yang aktif dan bermakna.- EDISI UKAS