Perpaduan Kukuh, Pemangkin Pelaksanaan Projek Berimpak Tinggi
KOTA SAMARAHAN: Perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat terus menjadi asas penting kepada kejayaan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi serta mempercepat agenda transformasi negeri demi kesejahteraan masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, keharmonian yang terjalin dalam masyarakat berbilang kaum membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek strategik, termasuk pembinaan lebih 20 jambatan di seluruh Sarawak yang kini memberi manfaat besar kepada rakyat.
Menurut beliau, hasil pembangunan yang dirancang secara berterusan turut dapat dilihat menerusi pembinaan Jambatan Batang Lupar yang bukan sahaja meningkatkan jaringan perhubungan, malah menjadi mercu tanda baharu serta tarikan di negeri ini.
“Kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan membolehkan inisiatif-inisiatif strategik dilaksanakan dengan lebih berkesan, termasuk penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri, iaitu AirBorneo.
“Dalam bidang pendidikan pula, Sarawak terus melakar sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem pendidikan tinggi percuma melibatkan lima universiti milik kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau Komuniti Bersama Pemimpin dan Sambutan Ngiling Tikai 2026 di Balai Raya Kampung Melaban, pada Sabtu.
Datuk Rubiah turut menyeru penduduk Kampung Melaban agar terus memelihara semangat perpaduan, permuafakatan dan saling menghormati yang menjadi kekuatan masyarakat serta penyumbang kepada kemajuan negeri.
Beliau berkata, sambutan Ngiling Tikai bukan sekadar menandakan berakhirnya musim perayaan Gawai Dayak, malah menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya, mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Menurutnya, kepelbagaian budaya yang dipupuk dalam suasana harmoni merupakan antara keunikan Sarawak yang perlu terus dipelihara sebagai asas kepada pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.
Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang; Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang; wakil Pegawai Daerah Samarahan, Lim Kiew Leng serta Ketua Kaum Kampung Melaban, Jemat Abak.-EDISI UKAS