254 Bakal Pengantin Sertai Kursus Pra Perkahwinan Petra Jaya Siri Ke-4
KUCHING: Seramai 254 bakal pengantin menyertai Program Selangkah ke Jinjang Pelamin – Kursus Pra Perkahwinan Petra Jaya Siri Ke-4, sekali gus mencatat penyertaan tertinggi sejak program itu diperkenalkan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sambutan yang memberangsangkan itu mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membuat persediaan sebelum mendirikan rumah tangga.
Beliau berkata, kursus pra perkahwinan bukan sekadar memenuhi syarat untuk berkahwin, malah menjadi platform penting bagi membimbing bakal pasangan memahami tanggungjawab, cabaran serta kemahiran yang diperlukan untuk membina keluarga yang bahagia dan berkekalan.
“Yang lebih utama apabila kita membina rumah tangga ialah memastikan keluarga yang dibina sentiasa bahagia. Apa juga masalah yang dihadapi, pasti ada jalan penyelesaiannya dan ia perlu diselesaikan dengan cara yang baik.
“Perkahwinan dalam Islam merupakan satu ibadah untuk mencari keredaan Allah SWT. Oleh itu, setiap pasangan perlu memikul tanggungjawab untuk memelihara keharmonian rumah tangga agar kekal hingga ke akhir hayat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Selangkah ke Jinjang Pelamin – Kursus Pra Perkahwinan Petra Jaya Siri Ke-4, pada Ahad.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai sesi yang menyentuh aspek penting kehidupan berumah tangga termasuk tanggungjawab suami isteri, komunikasi berkesan, pengurusan kewangan keluarga, pendidikan anak-anak serta kaedah penyelesaian konflik.
Program berkenaan dianjurkan sebagai usaha memperkasa institusi kekeluargaan melalui penyediaan ilmu dan panduan kepada bakal pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Kejayaan menghimpunkan 254 peserta turut membuktikan sambutan masyarakat yang semakin menggalakkan terhadap program tersebut yang ditawarkan dengan yuran penyertaan serendah RM50.
Pihak penganjur memaklumkan kejayaan itu menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh penganjuran kursus pada masa hadapan menerusi penambahbaikan kandungan modul, pengurusan program serta kemudahan yang disediakan agar lebih ramai bakal pasangan mendapat manfaat.
Pada majlis penangguhan itu, penghargaan turut diberikan kepada semua penceramah, agensi, rakan strategik, urus setia, sukarelawan serta para peserta yang telah menjayakan program berkenaan.
Program Selangkah ke Jinjang Pelamin dijangka akan diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan sebagai inisiatif memperkukuh institusi keluarga dan melahirkan lebih banyak keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah di Sarawak.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Information Centre, Tazudin Mohtar serta Ketua Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Suharman Edward yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). - EDISI UKAS