SERIAN: Kepimpinan yang stabil serta dasar pembangunan yang konsisten menjadi antara faktor utama membolehkan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif strategik demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak berjaya mencatat prestasi kewangan yang kukuh sekali gus membolehkan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.
“Di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Zohari, Sarawak telah berjaya meraih pendapatan tahunan negeri sehingga mencecah RM14 bilion dan membolehkan negeri ini melaksanakan pelbagai program demi kesejahteraan rakyat.
“Antaranya ialah pelaksanaan projek infrastruktur mega, penyaluran bantuan kewangan melalui Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), menyediakan pendidikan tinggi percuma sepenuhnya untuk anak jati Sarawak melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan banyak lagi.
“Malah, di bawah kepimpinan beliau juga, sembilan Agensi Pembangunan Wilayah di seluruh Sarawak telah ditubuhkan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13.5 bilion bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur, merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar serta memacu sosioekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Malam Solidariti Makai Selamat dan Ngiling Tikai di Dewan Chung Hua Serian, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan tersebut membolehkan rakyat menikmati peningkatan taraf hidup serta peluang pembangunan yang lebih menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau turut menekankan kepentingan pemimpin dan wakil masyarakat terus mendekati rakyat bagi memahami keperluan setempat serta memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada semua.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement Ingun serta Ketua Wanita PRS Balai Ringin, Helen Jambai.-Edisi UKAS