Dua Pelajar i-CATS Rangkul Tempat Pertama NAICO Malaysia Net Zero Challenge 2026
SERDANG: Dua pelajar tahun pertama Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa dari Kolej Universiti i-CATS, iaitu Lai Neng Yaw dan Vincent Law Hock Chun, mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam NAICO Malaysia Net Zero Challenge 2026.
Kejayaan tersebut diraikan sebagai pencapaian pertama anak Sarawak meraih kedudukan tertinggi dalam pertandingan berprestij itu, sekali gus mengangkat nama i-CATS dan Sarawak di peringkat nasional dalam bidang aeroangkasa lestari.
Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) bersempena MyAero Summit 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor dari 25 hingga 27 Jun 2026.
Sebagai pemenang tempat pertama, pasukan i-CATS membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 menerusi kategori Net Zero Strategy, selepas berjaya menarik perhatian juri dengan inovasi berimpak tinggi.
Mereka membangunkan NAICO ESG Aerospace Validator, iaitu sebuah perisian inovatif yang direka bagi menilai serta mengesahkan pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam sektor aeroangkasa.
Inovasi ini selari dengan agenda nasional Malaysia ke arah Net Zero aviation, khususnya dalam memperkukuh pengukuran kelestarian, akauntabiliti ESG serta amalan industri aeroangkasa yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Kejayaan luar biasa itu lebih bermakna apabila kedua-dua pelajar masih berada di tahun pertama pengajian, namun telah menunjukkan keupayaan teknikal, pemikiran strategik serta kreativiti yang tinggi dalam pembangunan idea inovasi tersebut.
Projek berkenaan turut dibimbing oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa i-CATS, Dr. Nurul Zubaidah Zaki, yang memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan, penyeliaan serta sokongan sepanjang proses pembangunan cadangan inovasi.-EDISI UKAS