Kembara D’Astana Telusuri Warisan, Satukan Sejarah & Rakyat
KUCHING: Di sebalik deruan ombak pesisir dan rimbun bakau Sarawak, Kembara D’Astana ke Lingga mengangkat sebuah perjalanan penuh makna apabila Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kembali menelusuri denai sejarah, warisan keluarga dan memori kehidupan yang membentuk jati diri beliau sebagai seorang pemimpin.
Program yang berlangsung pada 2 hingga 3 Mei 2026 itu bukan sekadar siri lawatan rasmi, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh ukhuwah bersama rakyat di Triso, Sebuyau dan Lingga sambil mengimbau kembali sejarah serta peradaban yang mewarnai bumi Batang Lupar.
TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memulakan pelayaran seawal jam 6.15 pagi dari Terminal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Pending dengan menaiki Katamaran Damai Princess.
Turut menyertai pelayaran tersebut ialah anakanda-anakanda Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan suami, Muhammad Nur Hakeem serta Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie.
Sepanjang pelayaran menuju Kampung Triso, tanah tumpah darah TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, rombongan disajikan panorama Muara Tebas dan kemegahan Jambatan Sejingkat yang kini menjadi simbol transformasi landskap pembangunan negeri.
Saat melewati Pulau Burung dan Pulau Triso Laut, pelbagai memori zaman kecil beliau kembali segar apabila berkongsi kisah mengekori ayahandanya memburu burung di kawasan tersebut, pengalaman yang menjadi antara cebisan awal kehidupan yang membentuk ketokohan dirinya hari ini.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menikmati pemandangan dari atas Catamaran Damai Princess dalam perjalanan ke Kampung Triso.
Setibanya di Kampung Triso, TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan menziarahi pusara keluarga di tanah perkuburan kampung sebelum mengunjungi tapak rumah lama dan telaga minuman yang menyimpan nostalgia awal kehidupan beliau.
Beliau turut meluangkan masa menyantuni 21 waris keluarga besar Allahyarham Tuanku Anis Tuanku Bujang di kediaman Ketua Kampung, Awang Mos Sulaiman.
Pertemuan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah menjadi medan mengimbau kenangan lama yang terus mekar dalam ingatan keluarga besar berkenaan.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh merakam gambar kenangan bersama ahli-ahli keluarga almarhum sepupunya, Wan Morshidi bin Tuanku Haji Sait di Sebuyau.
Sebelum meninggalkan Kampung Triso, TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan rombongan turut berkesempatan bersua muka dengan penduduk di Masjid Kampung Triso yang teruja menyambut kehadiran pemimpin yang amat dekat di hati masyarakat.
Kembara kemudian diteruskan ke Sebuyau yang kini sedang rancak melalui proses transformasi menerusi pembinaan Jambatan Batang Lupar.
Di Sebuyau, TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menziarahi keluarga sepupunya, Allahyarham Wan Morsidi Tuanku Sait atau Wan Dinel yang baru sahaja kembali ke rahmatullah.
Kehadiran beliau disifatkan memberi kekuatan moral kepada keluarga almarhum khususnya balu, Puan Sharifah Hasiah binti Tuanku Mashor.
Pada sebelah malam, Majlis Wida sempena keberangkatan TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan menunaikan ibadah haji turut diadakan di Masjid Al-Muflihin Sebuyau.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 500 ahli keluarga, kaum kerabat dan penduduk setempat yang bersama-sama menunaikan solat berjemaah, bacaan Yassin, tazkirah haji serta doa keselamatan buat pasangan berkenaan.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menghadiri Majlis Wida Sempena Keberangkatan ke Tanah Suci di Masjid Al-Muflihin Sebuyau.
Hari kedua kembara membawa rombongan ke Pekan Lingga yang sinonim sebagai “Pekan Terubok” dan kaya dengan sejarah pentadbiran Sarawak.
Di situ, TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyempurnakan Majlis Penyerahan Manuskrip Lingga-Banting termasuk Kanun Banting-Lingga yang menjadi bukti dokumentasi sejarah bahawa masyarakat tempatan telah memiliki sistem tadbir urus kendiri yang tersusun sejak sekian lama.
Beliau turut meneliti pameran senjata warisan dan salasilah keluarga bangsawan Lingga selain menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Hana.
Kunjungan tersebut turut menemukan kembali waris keluarga Tuanku Tubi bin Tuanku Lada Al Yahya sekali gus menganyam semula titian ukhuwah yang sekian lama terjalin.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan melihat dengan dekat pameran salasilah keluarga yang merekodkan garis keturunan (geneaologi) pembesar dan keluarga diraja/bangsawan yang pernah memerintah Kerajaan Banting-Lingga di Dewan Masjid Al-Hana Lingga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyifatkan kunjungan TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi itu sebagai “sirih pulang ke gagang”.
Bagi beliau, Triso, Sebuyau dan Lingga bukan sekadar kawasan yang pernah diwakili TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar selama 14 tahun, malah menjadi bumi yang menyimpan arkib memori keluarga dan nilai sentimental yang amat mendalam.
Kembara D’Astana akhirnya membawa satu mesej yang jelas bahawa jurang geografi bukan penghalang kepada perpaduan dan hubungan erat antara pemimpin dengan rakyat.
Dari nelayan di muara sungai hingga peniaga kecil di pekan, kehadiran TYT Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dilihat bukan sekadar simbol institusi negeri, tetapi figura seorang ayahanda yang kembali mendengar denyut nadi rakyat serta memayungi kebajikan masyarakat.
Jejak warisan telah ditelusuri, ukhuwah diperkukuh dan Kembara D’Astana ini pastinya akan terus tersemat kemas dalam lipatan sejarah Sarawak.-EDISI UKAS