Program UKAS Bersama Komuniti Jambatan Kerajaan & Rakyat
DEBAK: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkasakan peranannya sebagai jambatan utama yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat menerusi penganjuran Program UKAS Bersama Komuniti sempena Mantar Gawai di Rumah Panjang Belasau, Tuai Rumah Gara Tindin, pada Ahad.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam menzahirkan penghargaan kepada UKAS kerana merealisasikan program bermakna ini yang menjadi wadah penting dalam menyalurkan informasi yang tepat, sahih dan cepat kepada masyarakat.
Beliau menegaskan, selaras dengan tuntutan zaman digital dan pembangunan pesat teknologi maklumat, UKAS kini melangkah maju memanfaatkan platform media sosial dan aplikasi pintar, selain media konvensional seperti televisyen dan radio.
"Kita boleh dapat maklumat secara terus mengenai perkembangan negeri Sarawak, dan yang lebih penting, kita dapat mengelak daripada terpedaya dengan berita-berita palsu yang dapat mengancam kestabilan politik Sarawak," katanya.
Beliau turut menasihati masyarakat setempat agar sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat palsu, terutama dengan kehadiran teknologi Kecerdasan Buatan (AI), serta tidak terpengaruh dengan pergolakan politik luar Sarawak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turut merakamkan syabas kepada UKAS dan jawatankuasa penganjur atas kejayaan program yang menjadi simbol kesyukuran menjelang sambutan Perayaan Gawai Dayak tidak lama lagi.
Beliau menyeru komuniti Debak untuk memupuk persefahaman dan memberikan sokongan padu kepada wakil rakyat mereka demi memastikan agenda pembangunan Premier Sarawak dapat dinikmati bersama.
"Apabila keadaan politik kita di Sarawak stabil untuk jangka masa yang lama, pihak kerajaan Sarawak dapat memberi fokus kepada usaha untuk memajukan sosioekonomi negeri Sarawak yang akhirnya manfaatnya akan dirasai sendiri oleh rakyat kita," jelas beliau.
Menyentuh isu kos sara hidup, beliau menyatakan bahawa selain inisiatif Kerajaan Pusat, Kerajaan Sarawak turut menyalurkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) untuk meringankan beban rakyat.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah yang mewakili Pengarah UKAS menjelaskan bahawa fungsi utama agensi tersebut adalah bagi memastikan maklumat mengenai inisiatif kerajaan sampai ke seluruh lapisan masyarakat bagi mengelakkan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Meskipun terdapat kekangan capaian internet di sesetengah kawasan pedalaman, perkara itu tidak menjadi penghalang kerana UKAS mempunyai pegawai yang ditempatkan di setiap bahagian untuk berkhidmat secara terus dengan komuniti.
Beliau turut memohon kerjasama padu daripada penduduk setempat dengan pegawai-pegawai UKAS di lapangan, di samping menyeru masyarakat memanfaatkan platform digital UKAS.
Hadir sama pada program tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Betong Kato Dorsie, Pegawai Daerah Pusa, Anthony Peter Mihe Noel, Pegawai Tadbir Penguasa Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim, Penghulu Kadan Ot dan Tuai Rumah Gara Tindin.-EDISI UKAS