RM65,000 Dana MRP Disalur Kepada 22 Penerima DUN Tanjong Datu
LUNDU: Sebanyak RM65,000 dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 2 Tahun 2026 telah disalurkan kepada 22 penerima melibatkan pelbagai organisasi dan pertubuhan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerusi satu sesi penyerahan yang berlangsung di Pejabat Pusat Khidmat Tanjong Datu, Pekan Lundu, pagi Khamis.
Majlis penyerahan cek cura tersebut disaksikan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, dan telah disempurnakan oleh Naib Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu, Sintu Layang.
Agihan sumbangan MRP kali ini melibatkan pelbagai institusi akar umbi dan komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pengurusan masjid di sekitar kawasan Lundu dan Sematan.
Sumbangan dana tersebut mencerminkan komitmen berterusan Pusat Khidmat Tanjong Datu dalam memastikan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan serta pembangunan komuniti dapat diteruskan dengan lebih lancar demi kesejahteraan masyarakat setempat. -EDISI UKAS