Program “Klakar Lok” Perkukuh Hubungan Bersama Mahasiswa Sarawak Di UM
KUALA LUMPUR: Program “Klakar Lok” anjuran Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya (PMSUM) menjadi platform terbaik dalam memperkukuh hubungan serta membuka ruang dialog bersama mahasiswa Sarawak yang menuntut di Universiti Malaya (UM).
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata program seumpama itu penting bagi memberi peluang kepada mahasiswa bertukar pandangan, berkongsi idea serta membincangkan pelbagai isu semasa khususnya melibatkan anak Sarawak di institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, generasi muda Sarawak mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negeri sekiranya terus diberi pendedahan, bimbingan dan peluang yang sewajarnya.
“Saya amat kagum dengan semangat, pemikiran serta keinginan mahasiswa-mahasiswi Sarawak untuk menyumbang kepada kejayaan Sarawak,” katanya menerusi perkongsian selepas menghadiri program tersebut, hari ini.
Dalam sesi berkenaan, beliau turut berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan kepimpinan, pembangunan belia serta cabaran generasi muda dalam mendepani perubahan semasa.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada PMSUM atas penganjuran program yang disifatkan mampu memberi manfaat kepada mahasiswa Sarawak yang berada di perantauan.
Menurut beliau, platform seperti itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan mahasiswa, malah membantu melahirkan generasi muda yang lebih cakna, berdaya fikir dan bersedia memainkan peranan dalam pembangunan Sarawak pada masa hadapan.-EDISI UKAS