Jambatan Batang Lupar Buka Era Baharu Mobiliti Pesisir Sarawak
SEBUYAU: Pembukaan rasmi Jambatan Batang Lupar 1 bukan sekadar menandakan siapnya sebuah projek infrastruktur mega, malah membuka lembaran baharu kehidupan masyarakat pesisir Sarawak yang kini tidak lagi bergantung kepada perkhidmatan feri untuk bergerak antara wilayah.
Selepas penantian yang lama dan berdepan kesesakan serta tempoh menunggu feri yang panjang, penduduk kini menikmati perjalanan yang lebih lancar, cepat dan selesa menerusi jambatan ikonik sepanjang 4.84 kilometer itu.
Pembukaan jambatan berkenaan dijangka memberi impak besar terhadap sistem perhubungan negeri khususnya dalam memendekkan masa perjalanan dari Kuching menuju ke wilayah tengah sehingga ke Miri selain memperkukuh jaringan mobiliti dan aktiviti ekonomi di kawasan pesisir Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek mega yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak dalam mentransformasikan pembangunan kawasan pesisir negeri.
Menurut beliau, pengguna jalan raya sebelum ini terpaksa menunggu hampir 45 minit untuk menaiki feri di laluan Triso, namun kini perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lima minit menggunakan jambatan baharu tersebut.
“Pembinaan jambatan yang dibiayai sepenuhnya oleh dana Kerajaan Sarawak ini membuktikan bahawa setiap perancangan pembangunan berskala besar yang dirancang oleh kerajaan bukanlah sekadar janji kosong, sebaliknya diterjemahkan kepada realiti demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian jambatan berkenaan pada Khamis.
Beliau menambah, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja meningkatkan sistem jaringan jalan raya negeri, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar khususnya di kawasan pesisir Sarawak.
Sementara itu, bagi kakitangan Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusuf, pembukaan jambatan tersebut membawa perubahan besar kepada rutin harian penduduk yang sebelum ini amat bergantung kepada feri Triso sebagai laluan utama ke kawasan seperti Sibu, Meludam dan Beladin.
Jelasnya, projek Rangkaian Jalan Pesisir berjaya menghubungkan kawasan pesisir dengan wilayah tengah Sarawak yang sebelum ini dipisahkan oleh faktor geografi dan sungai yang luas.
“Dulu orang ramai perlu merancang perjalanan mengikut jadual feri dan kadang-kadang terpaksa menunggu lama terutama ketika musim perayaan atau hujung minggu.
“Sekarang perjalanan menjadi jauh lebih mudah dan cepat. Ini satu perubahan besar kepada kehidupan masyarakat pesisir,” katanya.
Beliau turut berharap penduduk di daerah Sebuyau, Simunjan, Sadong Jaya, Asajaya, Betong, Meludam, Beladin dan kawasan sekitarnya dapat memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaiknya selain bersama-sama menjaga harta awam daripada sebarang perbuatan vandalisme.
Sementara itu, salah seorang pengguna jambatan, Abdul Majid Ismail menyifatkan pembinaan jambatan berkenaan sebagai hadiah besar kepada rakyat luar bandar yang sekian lama menantikan kemudahan itu.
Katanya, jambatan tersebut bukan sahaja memudahkan perjalanan ke Kuching, Serian dan Kota Samarahan, malah memberi lebih keselesaan kepada penduduk untuk urusan harian termasuk pekerjaan, pendidikan dan kecemasan.
“Alhamdulillah, pembinaan jambatan ini akhirnya siap sepenuhnya. Ia amat memudahkan pergerakan kami untuk menuju ke mana-mana destinasi.
“Kalau dahulu kami perlu beratur panjang menunggu feri, sekarang perjalanan lebih lancar dan menjimatkan masa,” katanya.
Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 turut dilihat sebagai pemangkin baharu kepada pembangunan kawasan pesisir Sarawak selain memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur luar bandar yang menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS