Pendekatan Komuniti Penting Tangani Isu Dadah Secara Menyeluruh
BINTULU: Pendekatan berasaskan komuniti perlu terus diperkasa dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah serta membantu proses pemulihan bekas penagih secara lebih menyeluruh dan inklusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, usaha menangani isu dadah tidak boleh digalas agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat, keluarga dan komuniti setempat.
Menurut beliau, program berbentuk pendidikan, advokasi dan interaksi sosial mampu meningkatkan kesedaran awam selain memperkukuh ketahanan komuniti terhadap ancaman dadah.
“Usaha seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya dadah, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi dan komuniti dalam melaksanakan intervensi awal.
“Selain itu, pengurangan stigma terhadap bekas penagih serta pengukuhan model pemulihan berasaskan komuniti yang inklusif perlu diberi perhatian berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Jelajah Aspirasi ‘Memperkasa Generasi Terbilang Tanpa Dadah’ di Balai Raya Jepak pada Khamis.
Tambah beliau, kehadiran agensi penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi turut membantu membendung aktiviti penyalahgunaan dadah selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan komuniti setempat bagi memperkukuh usaha pencegahan, pemulihan dan kesedaran antidadah secara berterusan. -EDISI UKAS