Projek Jalan ‘Missing Link’ Nanga Bangkit–Muara Lebaan Dijangka Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Baharu
SARIKEI: Projek jalan ‘Missing Link’ sepanjang 5.6 kilometer yang menghubungkan kawasan Nanga Bangkit, Muara Lebaan ke Jalan Sibu - Tanjung Manis dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, walaupun projek tersebut tidak melibatkan jajaran yang panjang, impaknya amat besar kerana melengkapkan rangkaian jalan sedia ada.
Menurut beliau, projek tersebut turut memudahkan akses penduduk ke jalan pesisir serta jaringan lebuh raya utama di kawasan berkenaan.
“Pembinaan jalan baharu itu membuka potensi pembangunan tanah di sepanjang laluan tersebut, khususnya tanah hak milik yang sebelum ini sukar dimajukan akibat kekangan akses jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Proposed ‘Missing Link’ di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Safiee memaklumkan bahawa projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh kurang daripada 30 bulan.
“Setakat ini tidak ada isu yang timbul dan projek yang dijalankan menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau turut menambah, pemantauan rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana memberi keyakinan bahawa projek berkenaan mampu disiapkan mengikut jadual atau lebih awal.
Dalam pada itu, penyerahan pampasan tanah kepada pemilik yang terlibat turut menjadi langkah penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.
Dr Safiee berkata, sebanyak 18 cek bernilai keseluruhan RM146,986.56 diserahkan kepada 16 penerima yang terlibat dengan pengambilan tanah di sepanjang jajaran projek tersebut.
Beliau menjelaskan, pembayaran pampasan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga hak pemilik tanah selain memastikan projek pembangunan dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.
Menurutnya, kerjasama baik penduduk setempat turut membantu mempercepatkan pelaksanaan projek agar manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secepat mungkin.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin, JKR Bahagian Sarikei, Sr Awan Amal, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta agensi. -EDISI UKAS